|
Assalamualaikum semua.
Kita telah ketahui bahawa Allah telah menjadikan jasad kita daripada tanah. Tanpa ada roh, jasad kita tidak akan boleh dipanggil manusia. Apabila Allah tiupkan roh kepada jasad, maka barulah jasad boleh hidup, mengetahui, berkehendak, berkuasa, mendengar, melihat dan berkata kata. Firman Allah:
" Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".
Maka roh inilah yang menjadi amanah Allah kepada kita supaya kita menjaganya. Dia telah dijadikan Allah dari jisim yang halus yakni Nur Muhammad s.a.w. Maka siapa yang tidak kenal dan melihat kepadanya maka ibarat hati mereka buta. Firman Allah:
Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
Dengan ada roh inilah baru kita boleh beramal dan menjalankan segala perintah ilahi. Dengannya juga kita mendapat rezeki. Dengan adanya pada jasad kita maka barang yang tidak ada boleh dijadikan dan barang yang telah ada boleh dibinasakan. Manusia juga diwajibkan menjalankan segala perintah Allah dimuka bumi selagi badan masih mengandung roh terutama semua perkara yang diwajibkan. Inilah amanah Allah yang wajib dijaga baik baik kerana satu hari nanti kita akan diminta mempertanggung jawabkan atas segala perbuatan yang kita lakukan dengan amanah Allah ini. Dia juga dikenal sebagai khalifah Allah dimuka bumi. Melalui dia juga kita mendapat rahmat dari Allah yang tidak terkira banyaknya. Roh yang telah dijadikan dari Nur Muhammad inilah yang membawa rahmat keatas diri kita didunia dan diakhirat.
Firman Allah:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Sebagai insan yang tahu mensyukuri diatas segala rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, maka wajiblah kita senantiasa mengamalkan saja apa yang diperintah dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Inilah jalan yang selamat semasa berada ditempat persingahan sementara ini semoga kita akan beruntung dihari kemudian. Apabila kita sakit DIA baikkan. Apabila kita mengantuk, DIA tidurkan, apabila kita lapar DIA kenyangkan, mahu mandi, DIA mandikan apabila mencari rezeki DIA adakan kerana dia ada senantiasa bersama kita dimana kita perlukan DIA. Semasa kecil dulu, diajarnya kita merangkak, bertatih dan berjalan. Kalau haus, DIA menjajar kita untuk menyedut susu dari puting dan tidak sekali kali kita ditinggalkanNya bersendirian.
Firman Allah:
Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Semoga ulasan diatas ini sikit sebanyak dapat memberi pelajaran kepada kita dan supaya kita termasuk manusia yang tahu mengenang jasa.
Wallahu a'lam.
|